Pada 9hb Ogos 2011 bersamaan 9 Ramadhan 1432, abah menghembuskan nafasnya yang terakhir tepat pada jam 12 tengah malam, lebih kurang 15 minit setelah aku sampai ke hospital dan berada di sisinya. Aku masih ingat lagi minit itu, saat itu, saat aku membisikkan salawat dan syahadah di telinga kanannya, saat kematiannya, gengaman terakhirnya dan saat doktor membuat pengesahan. Abah pergi meninggalkan kami dalam keadaan tidak sedar kerana morfin yang terpaksa diambilnya untuk melalaikannya dari rasa kesakitan yang amat.
Kesakitan yang berpunca dari cancer perut yang ditanggungnya hampir 2 tahun selepas di diagnos oleh doktor. Akhirnya abah menghadap Ilahi di bulan yang mulia ini.
Aku menulis di sini, kerana aku nak semadikan ingatan aku terhadap arwah di hari-hari terakhir sebelum dia meninggalkan kami buat selama-lamanya. Kerana aku mungkin tidak dapat menceritakannya lagi sebaik ini pada masa akan datang. Biarlah segala memori aku bersama arwah abah dicatat di sini. Mungkin nanti aku dapat menyampaikan kisah perjuangan arwah abah pada anak-anak aku, keturunan aku yang seterusnya pada masa akan datang. Agar mereka tahu, arwah atok mereka adalah seorang yang tabah dan sabar menjalani kehidupannya walaupun menanggung penyakit cancer perut sehingga akhir hayatnya.
Dua tahun yang lalu, 2009, ketika aku masih di Brisbane, lebih kurang seminggu sebelum hari raya aidilfitri aku pulang ke Malaysia untuk menyambut hari raya dengan keluarga tercinta. Ketika itu aku lihat kesihatan abah agak terganggu, dan menurut mak, abah sering mengadu sakit perut. Abah juga tidak dapat berpuasa kerana terasa pedih diperut. Situasi begini memang agak biasa bagi kami sekeluarga, kerana sejak aku kecil lagi, abah memang sering diganggu sakit gastriknya. Sudah jadi kebiasaan untuk aku menyediakan air susu, bancuhan air suam dengan 4 sudu besar susu tepung, untuk melegakan sakit perutnya itu. Sehinggalah aku pandai sedikit, aku tertanya-tanya boleh ke orang sakit perut minum susu, bukan ke bila sakit perut, asid berkumpul diperut. Asid bila bertemu dengan alkali (susu) bukan ke akan menyebabkan tindakbalas yang negatif. Sebab itu juga setelah minum susu, abah hanya lega sekejap sahaja, selang beberapa jam kemudian, dia akan mula sakit perut. Kadang-kadang abah akan minum 4 hingga 5 mug susu. Sehinggalah abah tak tahan, baru dia akan berjumpa doktor untuk mendapatkan ubat anti-asid. Punca sakit perut abah tu mungkin disebabkan oleh rokok. Menurut mak, semasa muda, abah boleh dikategorikan sebagai chain-smoker, dalam sehari abah boleh habiskan berkotak-kotak rokok. Mak memang tak suka betul dengan tabiat kurang sihat abah yang ini. Tapi nak berhenti merokok bukannya senang. Bukan abah tak cuba, banyak kali jugalah abah cuba untuk berhenti dari merokok, tapi selalu menemui kegagalan. Sehingga sekitar tahun 2000, abah berhenti merokok. Alhamdullillah, mak adalah orang yang paling happy ketika itu.
Ok pada hari raya 2009 tu, abah nampaknya tak sihat. Yang ketara aku lihat ketika itu ialah muka abah kelihatan agak kuning. Tapi abah takde pulak demam, risaukan abah mendapat demam kuning. Pada hari raya, makcik aku seorang staff nurse di HKL mencadangkan abah untuk buat appointment dengan doktor. Ialah untuk mencari punca kesakitan abah. Appointment pun di buat pada sekitar November tahun itu. Kebetulan pakcik aku (adik mak), suami kepada makcik aku yang nurse tu sudah di diagnose menghidap kanser juga. Mungkin makcik aku dapat kesan simptom-simpton yang sama dengan pakcik aku tu ada pada abah. Dan apabila abah berjumpa doktor, melalui endoscopy, doktor dapat lihat yang terdapat ketumbuhan di perut abah, tapi masih diperingkat awal. Tetapi doktor kata nak tengok keadaan perut abah dengan lebih terperinci, maksudnya abah perlu dibedah untuk lihat kawasan exterior perut pula. Masa abah berjumpa dengan doktor di HKL, aku dah pulang semula ke Brisbane. Jadi adik beradik aku yang update keadaan abah. Bila doktor bedah perut abah, rupanya cancer abah tu dah tahap 4 dah, bukan lagi diperingkat awal. Kesimpulannya, perut abah dah highly cancerous, sehinggakan doktor perlu buat triple bypass untuk membolehkan makanan terus ke usus. Dan ketika itu memang suatu keadaan yang cukup beremosi untuk kami sekeluarga, sehinggakan aku yang sangat resah menunggu berita di Brisbane, mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia, untuk melihat abah, walaupun untuk 3 hari sahaja.
Selepas abah dibedah, doktor nasihatkan abah untuk buat terapi chemo. Tapi abah tangguhkan dulu, kerana dia nak cuba rawatan alternatif. Abah diberitahu oleh adiknya, pak tam aku bahawa ada seorang maulana dari India ini menyediakan rawatan alternatif secara syifa. Ramai juga high profile di Malaysia ini yang mencuba rawatan ini. Jadi pada Februari 2010, abah ditemani abang ipar dan abang aku terbang ke India bertemu dengan maulana tersebut. Walau bagaimanapun, setelah beberapa bulan mencuba rawatan alternatif, kesihatan abah masih tidak baik. Doktor menasihatkan abah untuk mulakan rawatan chemo secepat mungkin. Aku tak ingat bila, tapi aku rasa selepas raya 2010, abah memulakan terapi chemo. Sebelum terapi chemo abah kena buat terapi radio untuk menyembuhkan luka diperutnya itu. Kemudian baru boleh mula terapi chemo. Abah hanya buat terapi chemo sebanyak 6 kali sahaja, di HKL. Setiap kali rawatan abah perlu tinggal di hospital selama tak kurang 7 hari, dan setelah rawatan chemo, abah perlu menjalani rawatan selanjutnya 3 minggu selepas rawatan terakhir. Begitulah kitarannya sehingga pada rawatan ke 6, abah membuat keputusan itu adalah terakhir. Aku tau abah tak larat lagi hendak buat rawatan tu. Dan pada ketika itu abah hanya berserah kepada Allah atas keadaan dirinya.
Bulan April baru-baru ini, abah dan mak pergi menunaikan umrah. Abah dan mak ditemani oleh makchu aku (adik mak) dan suaminya. Sehari sebelum mereka dijadualkan pulang ke Malaysia, pakchu aku dijemput Ilahi. Pakchu aku alhamdulillah dalam keadaan baik, cuma ada masalah jantung. Tapi meninggalnya dia dalam keadaan sihat. Cuma sehari sebelum berangkat ke tanah suci, dia mengalami cirit birit. Semasa aku menghantar mak dan abah ke airport, aku berjumpa dengan pakchu. Dia kelihatan amat susut sekali, mungkin kerana cirit biritnya. Siapa sangka mautnya di tanah suci, ketika izrail menjemputnya dia sedang menunaikan solat maghrib. Menurut mak, abah dan makchu, arwah pakchu aku memang tidak sihat ketika di tanah suci. Cirit biritnya berulang, dan dia banyak beribadat di bilik hotelnya sahaja, khutir keadaannya itu akan mengotori masjidil haram. Satu tabiat arwah di sana, dia tak suka minum air yang bersisa, walaupun air itu dia saje yang minum dan bersisa lebih daripada 3/4 botol mineral itu. Dia akan minta makchu aku membeli air mineral yang baru. Mungkin air yang bersisa bukan rezekinya lagi. Kami di Malaysia amat terkejut bila mendengar khabar yang sedih itu. Siapa sangka niat arwah untuk teman dan menjaga abah di sana bertukar sebaliknya. Arwah pakchu aku dipanggil ke sana untuk menemui penciptanya.
Sekembalinya abah dan mak dari umrah, abah kelihatan kuat. Tetapi pada penghujung bulan April, abah mengalami sesak nafas dan dimasukkan ke hospital. Rupanya abah mengalami mild heart attack. Ya Allah. Dan bermula di situlah, abah kerap dimasukkan ke hospital. Sehingga la pada akhir hayatnya, itu adalah kali ketiga abah dimasukkan di hospital.
--bersambung--
Until next time, think positive and stay positive, inshaAllah everything will be OK
yours truly,
2 comments:
salam fazid..takziah ye kty ucapkan..
arwah abah kty pun meninggal pd 23 ogos 2005
sbb canser perut jugak..arwah mmg kuat hisap rokok..
al fatihah utk arwah ,smoga rohnya ditmptkan dikalangan org2 yg beriman ..amin
terima kasih kty.... rokok tu antara sebabnye agaknye.. Al Fatihah pada arwah abah kty
Post a Comment
what say you?