Pages

Saturday, August 20, 2011

Ramadhan 1432: the Passing Pt 2

Anak mana yang sanggup melihat ibu atau bapanya dalam kesakitan. Ketika melihat keadaan abah, aku hanya mampu berdoa agar Allah mudahkan sakitnya itu. Pada tengahari Isnin, 8 Ogos, aku memandang sayu wajah abah, yang nampak tenang seperti sedang tidur. Tapi aku tau dadah morfin itu yang membuatkan abah begitu. Walaupun aku risaukan kesan morfin itu, tapi jika itu sahaja yang dapat melegakan abah, dapat melalaikan abah dari sakitnya itu, aku redho. Pada Allah aku serahkan segalanya. Abah has suffered for almost two years. Walaupun dari segi fizikal mungkin nampak abah tu sihat, cuma berat badannya yang susut mendadak menjadi bukti yang abah sedang menanggung kesakitan, kalau tidak abah akan cuba berlaku seperti tidak ada apa-apa, terutama bila cucu-cucunya pulang.

Aku pun akhir-akhir ini, sebelum pemergiannya, kerap pulang ke Seremban. Setiap kali bila aku menelefon mak, mak akan tanya, "kau balik tak minggu nie? Balik laaa...ceria sikit abah tu bila tengok cucu-cucunya." Nama anak bongsu aku, athirah, memang selalu meniti bibir arwah. Pastinya itu cucu yang paling rapat dengannya. Hampir setahun abah dan mak menjaga anak-anak aku semasa aku di Brisbane. Hampir setahun juga la athirah tidur atas perut arwah atoknya. Ya, dengan atoknya, bukan wannya, athirah tido siang dan malam. Pasti kelibat athirah yang sering dilihatnya selalu.

Maaf, entry ini mungkin sedikit emosional.....

Hari Jumaat, 5 Ogos, arwah mengadu sakit belakang yang amat dan tidak boleh bangun. Aku ketika itu berada di ofis. Tengahari, setelah menjemput yaya dari sekolah, sang suami menelefon,".....fieda (kakak iparku) kata abah sakit, ada abang awak call tak?" "takde pulak," aku jawab. Malam semalamnya ada kakak aku sms, tapi takde pulak cakap abah sakit. Aku pun terus telefon mak. Mak kata tak nak call aku sebab tak tau no. mobile aku. Memang mak tak pernah call aku kat mobile, biasanya dia akan call rumah. Hanya abah sahaja yang tau no. mobile aku. Kata mak, abang aku ada kat sana, nak bawa abah ke hospital. Petang tu, abang aku call dan bagitau abah kekurangan darah, dan doktor suspect itu adalah punca abah sakit belakang. Abang pun kata abah ok, dan kata tak perlu aku balik Jumaat tu, tapi esoknya.

Jadi esoknya Sabtu, dekat tengahari baru aku tiba di hospital, sebab nak tunggu tiba waktu melawat. Pass tak dapat lagi. Mak pulak di rumah sebab tak sihat. Semasa aku sampai diwad, abah nampak macam biasa. Masih boleh berborak, tapi tak banyak seperti biasa. Sekejap-kejap dia suruh sapukan minyak dibelakangnya. Rupanya dari petang semalam sehingga la tengahari itu, doktor belum lagi masukkan darah. Katanya nak tunggu laporan buah pinggang abah. Abah memang ada masalah dengan colostrum. Nak dekat petang baru doktor masukkan satu pain darah. Malam sabtu itu, aku, along dan abang ipar, bergilir-gilir menjaga abah. Along (kakak aku) kata, selalunya abah tak nak orang jaga dia, tapi kali ini dia minta ada orang teman dia waktu malam.

Semasa aku menjaga abah malam sabtu tu, sementara tunggu abang ipar aku datang tengah malam untuk gilirannya. Macam-macam aku borak dengan abah. Abah kelihatan lega sebab doktor dah bagi dia morfin dalam bentuk sirap, jadi nampak abah sedikit groggy, tapi masih lagi nak borak dengan aku. Tanya pasal yaya, pasal athirah, pasal surau, pasal tarawih kat surau. Abah adalah pengerusi surau kat taman perumahan. Surau pun di belakang rumah mak dan abah tu aje. Rezeki abah dapat ke surau 5 waktu sehari semenjak dia pencen nie. Menurut mak, semenjak abah sakit, abah nak letak jawatan, dah usulkan banyak kali, tapi ahli menolak. Dalam sakit-sakit abah tu, kebajikan surau tidak dilupakan. Sehari sebelum puasa, abah panggil ahli JK datang bermesyuarat di rumah, dalam keadaan sakit. Biasanya mereka akan bermesyuarat di surau aje, tapi oleh kerana kali ini abah tak sihat, mesyuarat diadakan di rumah. Salah seorang ahli berkata, "tuan haji ini, sakit-sakit pun nak uruskan surau, biarlah kami yang uruskan, tuan haji bagitau aje nak buat." Kerja-kerja kebajikan macam nie memang abah suka. Kata mak, dari mudanya, sehingga la akhir hayatnya, ada aje aktiviti kebajikan yang abah turut serta.

Selepas bercerita pasal surau, tetiba abah cakap pasal puasa. Abah kata, "tahun nie, abah tak dapat puasa lagi. Abah sakit bulan puasa kan. Tahun sudah pun bulan puasa, sebelum tu juga bulan puasa." Aku terdiam, dalam kepala aku cuba menghitung tahun. Tahun lepas 2010, abah sakit sebelum buat chemo. Tahun sebelumnya 2009, tahun yang abah dikesan ada kanser. Sambung abah lagi, " Tahun lepas abah tak puasa 14 hari, tahun sebelumnya 12 hari, tahun nie baru dapat 3 hari." "Takpe la bah," aku cuba menyenangkan hati abah. "Abah kan sakit semenjak 2009, abah boleh tak puasa, bayar fidyah sahaja". Abah terdiam, nampak dia termenung jauh. Tak lama lepas tu, dia tanya bila abang ipar aku nak datang, sebab dah lewat. Dia risaukan anak-anak aku mencari. Aku kata takpa, diorang ok. Tak lama lepas tu abah tidur dengan nyenyaknya. Masih terdengar lagi di telinga ku dengkuran abah itu. Kini aku tidak lagi akan mendengarnya....

Hari ahad, aku bercadang untuk lawat dan jaga abah selepas zuhur. Kakak dan abang ipar aku ke hospital sebelum tengahari. Tak lama lepas along di sana, along menghantar sms, "abah muntah lagi...." Alamak... that is not a good sign. Aku teringat kali kedua abah dimasukkan ke hospital, akibat muntah darah yang banyak, ketika itu jantung abah agak lemah. Masa tu abah kekurangan banyak darah, hbnya 3, sepatutnya abah mesti mempunya hb10 sekurang-kurangnya. Ketika itu doktor pakar di ICU cakap, "if he vomits again, he may not live long." Masa tu pun doktor tu dah suruh inform family dah, sebab keadaan abah agak tenat. Tapi sapa boleh lawan ketentuan Allah. Allah bagi peluang lagi untuk anak-anaknya berkidmat pada abah. Allah dah aturkan waktu yang terbaik untuk abah bertemu denganNya, iaitu di bulan yang mulia ini.

Selepas zuhur, aku pantas bersiap. Pada mulanya aku nak pergi seorang, mak akan menyusul selepas berbuka, kerana mak nak teman abah malam tu. Tapi bile dapat tahu yang abah muntah darah lagi, mak jadi panik, dan nak ikut aku sekali ke hospital. Sampai di hospital, nampak abah sangat lemah. Selera makan dah takde. Sekejap-kejap abah mengiring ke kiri, sekejap-kejap ke kanan. Sekejap-kejap dia nak bangun untuk duduk. Sekejap-kejap dia suruh aku tegakkan katil, sekejap-kejap dia suruh turun katil ke posisi asal. Memang nampak abah tak selesa sangat dengan sakit belakangnya. Abah ketika itu baru sahaja diberikan morfin, tapi nampaknya tak berkesan. Aku suruh abah beristighfar banyak-banyak. Sambil itu aku sapu minyak dibelakangnya. Aku lap badannya dengan kain basah. Aku demah belakangnya dengan kain basah. Sekejap-kejap abah lega, tak lama lepas tu dia akan mengerang kesakitan. Nak dekat berbuka, mak halau aku balik untuk berbuka dengan family. Lagipun aku terpaksa balik ke rumah kerana besoknya aku ada workshop dan yaya sekolah. Berat juga aku nak balik, tapi ketika itu aku memang takda pilihan. Sebelum aku balik ke rumah malam tu, aku telefon mak di hospital. Mak kata, "abah kau nie dah meracau-racau. Kejap kang dia suruh tarik langsir, lepas tu suruh buka. Dia suruh attenden hospital tolak katil dia ke depan, kejap kang ke belakang" mak berkata dalam keadaan panik. "Mak tak tau nak buat apa lagi". Aku pun segera ke hospital.

Sesampai aku di hospital, aku minta izin guard kat bawah tu naik. Sebab aku tak da pass, kena la minta izin dulu. Selalunya guard kat situ akan tanya banyak soalan, tapi kali ini tak banyak cerita pulak. Aku pun tengok  orang lain senang aja kuar masuk. Mungkin sebab bulan Ramadhan, diorang beri kelonggaran. Bila aku sampai di katil abah, tengok abah dalam keadaan tak selesa. Mak pulak penuh kerisauan. Mak kata doktor dah bagi morfin lagi, tapi tak berkesan. Abah masih lagi mengaduh kesakitan. Aku cuba tenangkan abah, berselawat, beristighfar. "bah...abah istighfar ya bah. Sabar ye bah, sakit nie dari Allah, inshaAllah ada hikmahnya tu. Abah istighfar ya" dan abah beristighfar setiap kali rasa kesakitan. Mak kata, "haa...anak ajar baru nak ikut. Dengan mak puas dah cakap, dia tak peduli aja." "Sabar la mak," aku tau mak agak tertekan sikit. Aku pun cuba urut-urut belakang abah. Perut abah ketika tu aku lihat sudah buncit, macam penuh dengan angin. Aku teringat keadaan arwak pakcik aku semasa dia sakit tenat dulu. Eh macam keadaan pakcik laaa, bisik aku dalam hati. Semasa aku urut perutnya, aku membaca surah al-fatihah, moga-moga diberi penawar kepada kesakitannya. Abah pun nampak lega setiap kali habis surah tu, tapi tak lama lepas tu dia mula mengerang kesakitan.

Mak pun kemudian menghalau aku balik. "Kau pergi la balik b, besok yaya sekolah. Kesian budak-budak tunggu dalam kereta." Aku pulak tak sampai hati untuk tinggalkan abah dalam keadaan macam tu. Kalau la sang suami boleh uruskan anak-anak, dah lama aku minta dia balik dengan anak-anak. Abah pulak kemudiannya minta aku lapkan belakangnya. Aku pun ambil kain, tapi cepat-cepat mak ambil kain tu dari aku. "Biar mak buat, kau pergi balik," kata mak. Mak pun toleh pada abah, "b nak balik tu bah, besok yaya sekolah, sian yaya dan athirah tunggu dalam kereta tu." Abah pun terdiam, tak berkata sepatah pun. Aku pun cepat-cepat cium tangan abah, dahinya dan kedua-dua pipinya dan berkata, "bah, kita balik dulu ya. Esok kita datang. Abah sabar ye bah. Istighfar banyak-banyak." Ketika aku melangkah pergi, aku melihat wajah abah yang masih sedar itu untuk kali terakhir. Tidak terlintas dalam fikiran aku yang itulah percakapan aku dengan arwah abah untuk kali terakhir.

Aku melangkah meninggalkan wad 3A hospital tuanku jaafar dalam keadaan resah. Aku memohon pada Allah agar kesakitan abah dimudahkan.

Malam itu, aku tak dapat tidur dengan lena.......

bersambung.....





Until next time, think positive and stay positive, inshaAllah everything will be OK

yours truly,

No comments:

Post a Comment

what say you?